Ahad, 5 Februari 2012

Mengumpat??



Mengumpat adalah menceritakan atau menyebut keburukan seseorang kepada orang lain,..
Sabda Rasulullah SAW:
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya".

Perbuatan mengumpat ini diibaratkan seperti memakan daging saudara sendiri. Begitulah buruknya gambaran kepada orang yang mengumpat.

Dosa mengumpat bukan sahaja berat, malah ia adalah antara dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT biarpun orang yang melakukannya telah bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak dimaafkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang itu tidak memaafkan, selagi itulah dosa mengumpat itu kekal dan akan menerima pembalasan.

Rasulullah berkata: "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim dan janganlah kamu mengintip keaibannya. Sesungguhnya sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan mendedahkannya, meskipun berada dalam rumah sendiri.

Mengumpat juga seperti memfitnah. Oleh itu, sebagai seorang muslim, hendaklah mengasihi saudaranya seperti mengasihi diri sendiri. Dengan mengumpat ini juga boleh memecah belahkan ikatan sesama muslim.

Persaudaraan dan ukhuwah sesama muslim adalah sebahagian daripada perintah agama. Janganlah membuka aib saudaranya. Ini kerana sesiapa yang membuka aib saudaranya, maka Allah akan membuka aibnya di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:
"Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani".

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari dinar dirham tidak diperlukan lagi. Jika dia mempunyai kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak mempunyai kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan